Pages

TaBunG DerMa

Friday, December 9, 2011

Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam Pakatan Rakyat ?~~!!

Assalamualaikum W.B.T.

Dari : Nasrudin bin Hassan

Maafkan saya teman kerana agak lembab menjawab beberapa soalan yang dikemukakan semasa forum Politik dan Mahasiswa di UIAM tempohari sedang saya telah berjanji untuk menjawabnya. Maklumlah, apabila sudah tidak berada dalam majlis, ada sahaja perkara yang melengahkan saya untuk menjawabnya. Kini ada satu lagi soalan yang masih belum terjawab.

Soalan tersebut ialah : Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam Pakatan Rakyat ?

1. Saudara , perjuangan PAS bukan lagi berusia setahun jagung. Malah PAS telah berpengalaman luas dalam Kerajaan Campuran di zaman Perikatan dulu. Berpengalaman di zaman Angkatan Perpaduan Ummah juga di zaman Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat. Sepanjang tempoh itu, PAS tidak pernah lekang biarpun seketika cuma dari dasar perjuangan yang telah mendarah daging iaitu Islam.

2. Tinggal Islam maka hilanglah identiti PAS dan tersasarlah dari matlamat penubuhannya. PAS ditubuh untuk memperjuangkan Islam. Hakikat ini mesti diinsafi oleh semua. Malah PAS dibangunkan dengan segala sendi yang kukuh dan melalui proses pengkaderan yang berterusan. Aqidah Islam menjadi tunjang perjuangan, Fikrah Islam menjadi dahan perjuangan sementara Syakhsiyah Islam menjadi bunga perjuangan dan Kedaulatan Islam kelak menjadi buah perjuangan.

3. PAS istiqamah berjuang menegakkan Islam biarpun di mana ia berada. Menyertai Pakatan Rakyat adalah pilihan dan ijtihad PAS yang telah dibincang dan dibahas lumat oleh para pimpinannya yang terdiri dari para alim ulama' termasuklah ianya diluluskan oleh Majlis Syura Ulama' PAS. Segala congakan atau perkiraan politik yang melibatkan untung rugi masa depan perjuangan telah dihitung nilai.

4. Malah Tahaaluf Siasi atau kerjasama politik yang diguna pakai lalu membawa PAS bersama membentuk Pakatan Rakyat adalah sebuah kerjasama politik yang sarat dengan terma dan syarat tersendiri malah menjamin kedudukan serta kesucian perjuangan Islam yang didokong oleh PAS. Biarpun berbeza ideologi perjuangan, ianya tidak menghalang ketiga - tiga parti komponen Pakatan Rakyat mengadakan kerjasama politik berhadapan UMNO dan BN. Ia bukan kerjasama aqidah, tetapi kerjasama politik.

5. PAS bukan sahaja konsisten malah sangat komited untuk melaksanakan Islam terutama apabila rakyat telah bersedia memberikan mandat kepimpinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Insyaallah, Islam tetap terpelihara dan akan terus diperjuangkan atau ditegakkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

6. PAS tidak larut dan hilang identiti sebaliknya terus membawa suara Islam dengan segala warna hikmah yang ada. Kita akui, peringkat awal dulu kita mengalami beberapa kesulitan untuk mengeratkan jalinan kerjasama antara parti komponen gara - gara terlalu banyak fitnah dan adu domba.

7. Namun kesabaran dan kematangan yang bertolak dari pengalaman yang luas akhirnya perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam dan akhlaknya semakin diterima. Paling tidak, bersetuju untuk tidak bersetuju. Ianya satu perkembangan positif malah jauh lebih positif berbanding sebelumnya.

8. Saya optimis Islam akan ditegakkan malah boleh dan mampu ditegakkan Insyaallah, justeru Islam adalah agama Allah swt Tuhan yang Maha Sempurna dari segala sifat kekurangan, bukan agama ciptaan manusia yang serba lemah. Selama PAS bersama Islam, PAS akan kuat dan mampu. Selagi Islam diperjuangkan oleh PAS maka PAS senantiasa relevan.

9. Islam tidak sekadar hudud sebaliknya hudud adalah sebahagian dari Islam yang wajib dilaksanakan. Masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Antara yang menjadi fokus penting juga selain Perlaksanaan Qanun Jenayah Syariah 2, ialah pembentukan sebuah pemerintahan atau pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti tinggi. Bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara. Ianya menepati Islam yang diperjuangkan.

10. Memperjuangkan perkara - perkara ini sahaja pun sudah tidak menang tangan dalam Pakatan Rakyat yang semakin memaut kerjasama erat antara parti komponen berbanding hanya satu dua perkara yang menjadi asas perbedaan. Semua parti bekerjasama erat untuk membasmi ISA, menentang rasuah, menubuhkan Good Governence, mempertahankan bahasa kebangsaan, menolak AUKU dan 1001 perkara lagi yang semuanya selari dengan kehendak Islam.

Bertolak dari nokhtah yang telah saya sebutkan ini juga sudah cukup bahawa PAS berpotensi besar untuk menegakkan Islam bersama Pakatan Rakyat. Membasmi ISA adalah tuntutan Islam, menentang rasuah adalah tuntutan Islam, membina negara yang telus, adil dan berintegriti adalah tuntutan Islam .

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS

Sumber : Nasruddin bin Hassan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...