Pages

TaBunG DerMa

Saturday, June 16, 2012

IbRah DariPada IsRa' Dan MikRaj~~!!


Ibrah Daripada Isra' dan Mikraj.

Isra' dan Mikraj adalah satu perjalanan yang dilalui oleh Rasulullah saw. Isra bermaksud, perjalanan antara Mekah dan Baitul Maqdis di Palestin. Mikraj pula ialah perjalanan antara Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha. Tiada sesiapa yang mengetahui tarikh sebenar berlakunya Isra dan Mikraj. Para 'ulama' sendiri berselisih pendapat tentang tarikh sebenar berlakunya peristiwa agung itu (baca disini). Namun, mereka sepakat bahawa peristiwa itu berlaku sebelum Hijrah Rasul ke Madinah al-Munawwarah.

Terdapat beberapa perkara yang kita boleh renungkan bersempena peristiwa ini. Disini, saya senaraikan empat. Pertama, berkenaan dengan kehebatan Allah swt dengan kekuasaan-Nya dan keagungan-Nya, Dia membenarkan hamba-Nya iaitu Rasul untuk datang bertemu-Nya tanpa persiapan dan tanpa alatan yang canggih. Di zaman tersebut, perjalanan ke Palestin sahaja mengambil masa berbulan-bulan. Ini kan pula perjalanan ke langit. Ia adalah mustahil bagi masyarakat ketika itu. Sedangkan di zaman yang serba canggih ini juga, Sheikh Muzaffar, apabila dihantar oleh Kerajaan Malaysia, mengambil masa selama setahun untuk persiapan menghadapi keadaan di atas sana. Duit dihabiskan sebanyak jutaan ringgit. Namun, apa yang dilalui oleh Rasul, seolah-olah ia adalah sebuah perjalanan harian. Begitu lah hebatnya Allah yang membenarkan perjalanan ini. Buraq yang menjadi tunggangan Rasul itu hebat, Penciptanya pasti lebih hebat. Itu lah Allah swt.

Kedua, peristiwa ini juga dijadikan sebagai ujian kepada umat Islam ketika itu. Dengan kekurangan iman, dan dikelilingi oleh pandangan-pandangan yang negatif daripada musuh-musuh Islam, ramai dikalangan umat Islam yang murtad apabila mendengar tentang peristiwa Isra' dan Mikraj itu. Tidak ramai yang tetap dengan iman dan mempercayai peristiwa tersebut. Maka benarlah gelaran yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada Abu Bakr sebagai as-Siddiq (yang membenarkan) apabila beliau memberikan respon yang sangat positif tentang peristiwa ini apabila dikhabarkan kepadanya oleh golongan Musyrikin, "jika Muhammad mengatakan bahawa dia pergi lebih jauh jua, aku pasti akan percaya."

Ketiga, betapa besarnya perintah solat sehingga ia perlu diterima oleh Rasulullah saw secara terus dan bukannya melalui wahyu yang diturunkan melalui wasilah Jibril seperti biasa. Di hari ini, betapa ramai di kalangan kita yang tidak mengendahkan solat. Bagaimana umat Islam hendak berjaya apabila solat tidak diendahkan. Dalam azan, adanya kalimah "hayya 'alassolah, hayya 'alal falah (marilah mengerjakan solat, marilah menuju kejayaan)." Begitu juga dalam Surah al-Mukminun, Allah swt berfirman, mafhumnya, "Berjayalah orang-orang Mukmin yang dalam solat mereka, mereka khusyu'." Disebutkan oleh beberapa 'ulama, antaranya Dr Zulkifli al-Bakri bahawa, sekurang-kurang khusyu' itu adalah tahu perbuatan dalam solat yang sedang dilakukan pelakunya dan pelakunya ingat dia sedang berada di rakaat yang keberapa.

Keempat, dalam perisitwa mikraj juga, baginda saw melalui perjalanan ke Syurga dan Neraka. Di neraka, baginda dibawa melihat azab-azab yang menimpa penduduk neraka, antaranya pemakan riba', pemakan harta anak yatim dan penzina. Golongan penzina tersebut, diberi makan antara daging yang busuk dan elok, namun mereka memilih daging yang busuk dan ditinggalkan daging yang elok. Golongan wanita dari kalangan penzina juga digantung payudara merekadi neraka. Na'uzubillah min zalik.

Banyak lagi ibrah atau faedah yang boleh kita dapat daripada peristiwa ini. Bagi pelajar, baca lah buku-buku berkenaan dengan perisitwa ini. Buku seperti Rahiq al-Makhtum dan buku-buku Fiqh as-Sirah adalah antara buku yang baik untuk dibaca. Moga kita semua mengambil iktibar daripada peristiwa yang agung ini. Selamat menambah iman. Wallahu'alam.

Ustaz Wan Ali Akbar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...