Assalamualaikum wbt~~!!
Islam sangat mengambil berat kepentingan mengeratkan hubungan tali persaudaraan atau silaturrahim sesama muslim. Salah satu cara yang disarankan oleh Islam untuk mengeratkan hubungan persaudaraan atau silaturrahim sesama muslim itu ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit merupakan salah satu hak seorang muslim ke atas muslim yang lain.
Sabda Nabi S.A.W.
Apabila seorang lelaki mengunjungi saudara muslimnya, maka seolah-olah dia berjalan di jalan syurga sehingga dia duduk. Apabila dia sudah duduk maka rahmat Allah mengelilinginya. Jika dia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan mendoakannya hingga petang dan begitulah sebaliknya.
Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit, antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bermaksud:-
“Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga!”.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Antara adab-adab ziarah pesakit (menurut kitab Fiqh Sunnah).
Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.
1. Ketika berada disisinya, hendaklah kita sentuh dan pegang tangannya kemudian letakkan tangan di dahinya dan tanya tentang penyakit dan keadaannya sekarang.
2. Doa dan ceritakan tentang kelebihan sakit yang dialami oleh para sahabat, Rasul dan Nabi dan juga orang beriman supaya pesakit itu tidak merasa resah gelisah terhadap kesakitan yang dialaminya. Menyampaikan ucapan yang baik, dapat menghiburkan hati si sakit dan menguatkan jiwanya. Contohnya beri ucapan: “Tidak apa-apa insyaAllah lekas sembuh.”
3. Berikanlah nasihat-nasihat yang baik serta ucapkan perkataan “Sabarlah sakit ini adalah salah satu ujian Allah dan cubaan semata-mata di atas ketakwaan seseorang terhadap Allah kerana sakit ini juga, seseorang memperolehi ganjaran pahala yang banyak”.
4. Jangan makan makanan yang dihadiahkan kepadanya atau makanan yang telah disediakan untuknya. Sekiranya kita makan makanan tersebut, hilanglah pahala ibadah ziarah itu.
5. Sunat dibacakan doa untuknya yang bermaksud:
“Ya Allah ! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan tidak ada sembuhan melainkan sembuhan dariMu jua, sesuatu sembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. (Riwayat at-Tirmizi)
6. Pendekkan waktu ziarah. Sebolehnya, kadang-kala si pesakit ingin tidur, atau ingin makan ubat dan tukar pakaian. (kecuali si sakit mengkehendaki sebaliknya)
7. Wanita boleh menziarahi lelaki. Dalil: Aisyah ra pernah menziarahi Bilal bin Rabah ra yang sakit demam panas
8. Boleh juga menziarahi orang bukan Islam. Dalil: alBukhari meriwayatkan dalam bab menjenguk orang musyrik.
Sunat:
Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Menziarahi orang sakit tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakiti kita.
Hukum menziarahi kafir dzimmi yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia dari kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam.
Doa mendoakan orang sakit:-
Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insyaAllah.
Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau.
“Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu.” At-Tarmizi & Abu Daud.
Kelebihan menziarahi orang sakit.
Bersabda Nabi s yang bermaksud :
“Apabila seorang lelaki mengunjungi saudara muslimnya, maka seolah-olah dia berjalan di dalam syurga sehingga dia duduk. Apabila dia sudah duduk maka rahmat Allah mengelilinginya. Jika dia berkunjung pada waktu pagi, maka tujuh puluh ribu malaikat akan mendoaknnya hingga petang dan begitulah sebaliknya” (Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad).
No comments:
Post a Comment