Pengertian Ihsan (Ringkas)
Ihsan adalah ruh kepada iman dan tanda kesempurnaannya. Ihsan ertinya merasakan bahawa Allah sentiasa bersama kita, memerhatikan tiap tingkah laku kita, mengetahui apa sahaja perbuatan kita baik dalam keadaan terang-terangan mahupun dalam sunyi dan penuh rahsia. Ihsan ini hadir dalam jiwa yang menyintai Allah dan takut pada-Nya. Juga dalam diri yang sentiasa mengharapkan redha Allah dan kurniaan-Nya, serta gerun akan azab perbuatan buruknya disisi Allah.
Oleh kerana itulah, seorang yang memiliki sifat ihsan, dia akan sentiasa berlumba-lumba untuk memelihara semua amalan wajibnya dan menggandakan amalan sunatnya. Dia akan menjauhkan diri daripada yang makruh, kerana ia dibenci Allah. Jika yang makruh sebolehnya dijauhi, maka yang terang-terang haram apatah lagi. Seorang yang muhsin (bersifat ihsan) adalah dia yang sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan amal kebaikan dan berkejar-kejaran mendamba redha Allah.
Ihsan juga membawa maksud berbuat baik kepada yang lain. Dari segi lughah arab, ihsan adalah kata akar daripada fe’el (kata kerja) ahsana. Ketika ini ia dipanggil kata kerja yang muta’addi (transitif), iaitu perlu kepada pihak atau perkara ketiga. Misalnya dalam bahasa arab kita kata AHSANA ZAIDUN, kemudian kita berhenti setakat itu sahaja. Terjemahnya adalah Zaid berbuat baik. Persoalannya, berbuat baik kepada siapa? Jadi ayatnya tergantung. Oleh itu, bila kita berbicara mengenai berbuat ihsan atau berbuat baik, mesti ia akan melibatkan pihak ketiga yang menerima kebaikan daripada yang membuat kebaikan itu tadi.
Pembahagian Ihsan
Ihsan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu ihsan kepada diri sendiri dan ihsan kepada makhluk Allah yang lain baik manusia ataupun haiwan.
Ihsan kepada diri sendiri adalah dengan membawanya untuk mentaati perintah Allah, semampu mungkin berusaha untuk menjauhkan diri daripada melakukan maksiat, baik maksiat batin (hati) ataupun maksiat zahir.
Ihsan kepada makhluk Allah pula adalah dengan berlemah lembut dan kasih sayang kepada mereka.
Daripada Muaz r.a, Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya,
يَا مُعَاذُ ، أَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا ، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
“Wahai Muaz, susulilah kejahatan dengan kebaikan, maka kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut. Dan berakhlaklah kepada orang lain dengan akhlak yang baik.”
Hadis riwayat imam Ahmad.
Memberi Makan Sebagai Salah Satu Cabang Ihsan
Tuan-tuan yang dikasihi,
Memberi makan kepada yang memerlukan juga adalah salah satu bentuk perbuatan ihsan. Bahkan ia mempunyai nilai yang sangat tinggi disisi Allah. Didalam surah Al-Mujadalah, Allah s.w.t telah menjadikan perbuatan memberi makan kepada orang miskin sebagai ganti kepada hukuman membebaskan hamba dan berpuasa dua bulan berturut-turut dalam masalah zihar.
Firman Allah,
ومَن لَّمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ذَلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Dan barangsiapa yang tidak mampu (untuk membebaskan hamba dan berpuasa dua bulan berturut-turut, maka wajib atasnya) untuk memberi makan kepada 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan itulah hukum-hukum Allah, dan bagi orang-orang yang kafir ada siksaan yang sangat pedih”
Surah Al-mujadalah ayat 4
Allah juga menjadikan perbuatan memberi makan kepada orang miskin, atau memberi pakaian kepada mereka sebagai salah satu pilihan kaffarah sumpah (aiman) selain daripada membebaskan hamba.
Firman Allah,
لاَ يُؤَاخِذُكُمُ اللّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ الأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُواْ أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffarah sumpah itu adalah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Barangsiapa yang tidak sanggup melakukan demikian, maka kaffarahnya adalah puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarah sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikian Allah menerangkan kepadamu hokum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).”
Surah Al-Maidah ayat 89
Daripada Abdullah bin Amr bin Al-As’ r.anhuma bahawasanya seseorang telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w, (amalan) Islam manakah yang terbaik? Jawab Rasulullah s.a.w,
تطعم الطعام ، وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف
“Kamu memberi makan, dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tak kenal”
Muttafaqun Alaih
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda
اعبدوا الرحمن ، وأطعموا الطعام ، وأفشوا السلام ، تدخلوا الجنة بسلام
“Sembahlah Allah yang Maha Pemurah, berilah makan, dan sebarkanlah salam. Nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera”
Riwayat Imam Tarmizi dan katanya hadis ini hasan lagi sahih.
Contoh Terbaik Oleh Rasulullah s.a.w Di Bulan Ramadhan
Baginda Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita umatnya mengenai berbuat baik dan murah hati, lebih-lebih lagi bila hadirnya Ramadhan. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Ibnu Abbas r.anhuma berkata,
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل وكان يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن فلرسول الله صلى الله عليه وسلم أجود بالخير من الريح المرسلة
“Adalah Nabi s.a.w seorang yang sangat pemurah. Baginda akan lebih-lebih lagi pemurah apabila berada dalam bulan Ramadhan ketika Jibril bertemu dengannya. Jibril sering bertemu dengan Rasulullah s.a.w pada setiap malam Ramadhan, lalu keduanya saling bertadarus al-Quran. Maka benar-benarlah Baginda s.a.w itu lebih pemurah daripada angin yang bertiup.”
Berkata Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah,
Yang dimaksudkan dengan Ajwadu annas adalah Baginda merupakan manusia yang paling murah hati. Murah hati adalah satu kemuliaan. Ia adalah sebahagian daripada sifat-sifat yang mahmudah. Kata-kata ‘Baginda lebih pemurah daripada angin yang bertiup’ adalah kiasan kepada segeranya Baginda untuk membuat kebaikan. Lebih cepat daripada angin yang bertiup. Dalam matan hadis, digunakan perkataan ‘al-mursilah’. Ia menggambarkan berterusannya bayu kemurahan yang dibawa oleh Rasulullah dan ia dapat dirasai oleh siapa sahaja yang mengenainya
–Fathul Bari
Berkata Imam Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah,
Adalah kemurahan hati Rasulullah s.a.w merangkumi semua disiplinnya, daripada mencurahkan ilmu dan memberikan harta, mengorbankan diri Baginda s.a.w sendiri di jalan Allah demi untuk menegakkan syiar agama dan agar umat mendapat hidayah. Baginda s.a.w juga sentiasa berusaha untuk memberi manfaat kepada manusia lain dengan apa jua cara. Dengan memberi makan kepada yang lapar, memberi nasihat kepada mereka yang tidak tahu, menunaikan hajat mereka yang memerlukannya, dan berkongsi bebanan dengan mereka.
– Lathoiful Maarif.
Dalam sebuah hadis Baginda s.a.w bersabda
من فَطَر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئاً
“Barangsiapa yang memberi makan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka dia akan beroleh pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu, tidak kurang walau sedikitpun.”
Sohih riwayat Imam Tarmizi.
Antara Adat dan Ibadat
Khususnya di bulan Ramadhan, kita dapat melihat satu amalan yang sangat baik, yang menjadi kebiasaan masyarakat kita. Iaitu amalan bertukar-tukar juadah berbuka. Ia adalah adat yang pada saya menepati kehendak ihsan sesama manusia. Ia bukan sekadar adat, bahkan jika betul niat kita melakukan amalan tersebut ia akan dikira ibadah.
Bilakah ia hanya dianggap adat? Bila kita memberi juadah kepada orang lain, namun orang tersebut tidak pula membalas juadah kita, baik pada hari yang sama atau hari berikutnya. Ataupun dia hanya memulangkan semula bekas kosong kepada kita, lalu kita pun rasa kecil hati dan marah. Macam-macam prasangka buruk pun datang. Jiran aku ni kedekut. Bakhil. Tahi hidung masin, bak kata P Ramlee.
Apabila jadi begini, maka sia-sialah amalan kita. Sedangkan kita dituntut untuk ikhlas dalam setiap amalan, tanpa mengharap sebarang ganjaran dan balasan daripada makhluk.
Mungkin hati kecil kita sering tertanya-tanya mengenai amalan-amalan yang nak kita perbanyakkan dalam bulan Ramadhan yang mulia nanti. Memberi makan adalah salah satu daripadanya. Nah, Baginda s.a.w sendiri telah menjadi contoh tauladan yang amat baik untuk kita ikuti. Marilah kita sama-sama meniru keindahan budi pekerti Baginda s.a.w. Semoga saya dan tuan-tuan menjadi hamba Allah yang cemerlang di madrasah Ramadhan nanti. Amiiiiin Ya Rabbb..
No comments:
Post a Comment