Assalamualaikum wbt~~!!
Pertunangan mereka adalah rahsia. Lebih memburukkan keadaan, tunangnya sebelum itu dirisik lelaki di dalam mimpi istikharahnya itu. Membuatkan tunangnya itu confuse, dan mengajak untuk memutuskan tali pertunangan mereka.
Izinkan saya memberikan komen yang agak keras di dalam hal ini.
Pertamanya: Sedarlah bahawa kita ini bukanlah Rasul atau Nabi, yang mana mimpi kita membawa makna yang mendalam dan benar 100%. Tidak. Kita bukan mereka. Maka penyakit apakah ini yang membuatkan kita mempercayai sebuah mimpi, dari realiti yang berada di hadapan kita?
Sesuci mana pun kita kala beristikharah, tetap kita hanya manusia biasa dan mimpi kita masih ada kemungkinan hanya mainan syaitan semata-mata.
Siapa berani jamin dengan nyawanya bahawa mimpinya itu adalah benar-benar jawapan daripada Allah ha?
Keduanya: Islam bukan berdiri di atas mistik dan keajaiban yang tidak berasas. Islam tidak berdiri di atas dalil serapuh mimpi. Kerana itu, mimpi bukanlah boleh dijadikan sebagai dalil untuk apa situasi sekalipun.
Justeru, kita tidak boleh membuat keputusan berdasarkan mimpi semata-mata. Sedang Nabi Ibrahim pun, sebelum menyembelih anaknya, membentangkan terlebih dahulu mimpinya kepada anaknya Ismail, dan bertanya apakah dia patut meneruskannya. Walaupun Ibrahim adalah seorang Nabi!
Maka siapakah kita untuk memutuskan pertunangan hanya berdasarkan sebuah mimpi?
Mengapa tidak kita imbangi pro dan kontra. Mimpi itu ada kemungkinan mainan tidur semata-mata. Kalau kita ini belum ada apa-apa hubungan dengan sesiapa, tidak mengapalah. Ini sudah ada hubungan. Maka sepatutnya kita imbangi pro dan kontra, kita fikirkan baik, buruknya. Bukan semata-mata kata: "Dah mimpi gitu, gitulah."
Inilah yang dikatakan fitnah Istikharah!
Ketiganya: Perlu juga difahami bahawa, istikharah itu dibuat sebelum membuat keputusan. Selepas keputusan dibuat, istikharah adalah tidak bermakna. Hiduplah dengan keputusan yang telah diambil. Istikharah selepas membuat keputusan hanyalah satu ruang besar untuk syaitan menyuntikkan keraguan di dalam diri kita.
Nyata, istikharah selepas membuat keputusan itu sendiri adalah satu bentuk keraguan!
Keempat: Adalah haram merisik atas risikan saudara. Maka adalah haram, masuk meminang seorang yang sudah punya hubungan dengan seorang yang lain. Oleh kerana itulah, adalah harus menghebahkan pertunangan, agar tidak berlaku perkara-perkara sebegini. Agar tertutup perasaan orang lain terhadap kita atau pasangan kita. Agar termati rasa ingin 'mencuba' orang lain terhadap kita dan pasangan kita.
Jika kita rasa perkara sebegini mungkin berlaku di dalam hidup kita, maka hebahkanlah pertunangan. Jangan rahsiakannya. Nyatakan diri sudah berpunya!
Ini adalah pandangan saya.
Saya tegaskan di sini bahawa, istikharah bukanlah alat sakti untuk menghalalkan segala tindakan kita. Mimpi begini, Oh, inilah dia jawapan Allah kepadaku. Banyaklah jawapan Allah, boleh confirmkan?
Sebab itu Islam mendidik kita menggunakan akal fikiran, untuk berfikir membuat pertimbangan, pro dan kontra, mengira situasi diri dan orang sekeliling. Bukan pakai mimpi!
Didikan apakah ini?
Mengapa disibukkan dengan perkara sebegini, hingga terganggu satu hubungan yang murni?
Tidakkah kita membaca artikel Ustaz Hasrizal yang kita kasihi: http://saifulislam.com/?p=8020 ?
Sungguh, ini mendukacitakan.
-------------------------------------------------
Sebab itu kadangkala orang yang tidak faham Islam, memandang orang Islam yang 'nampak faham' dengan pandangan yang kelakar. Kompleks. Pening.
Semuanya kerana fitnah sebegini rupa. Diamalkan Islam itu dalam keadaan bukan sebenarnya!
via Hilal Asyraf(Official)
1 comment:
terima kasih banyak2... takut kan?
Post a Comment